Bahasa Jiwa Bangsa

Bahasa Jiwa Bangsa

Sunday, 12 April 2015

Kan Dah Kata: Isu Morfologi: Pungguna Laman Sosial Twitter Memberi Imbuhan Atau Afiks Bahasa Melayu Terhadap Perkataan Bahasa Inggeris

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Entri kali ini penulis ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa bahasa Melayu sedang terancam oleh segelintir sikap penutur jatinya sendiri. Perkara yang dimaksudkan oleh penulis ialah dalam isu morfologi yakni imbuhan atau afiks telah diguna pakai terhadap perkataan bahasa Inggeris. Perkara ini sangat berleluasa digunakan oleh masyarakat melayu  tanpa sempadan semasa menulis dalam laman media sosial Twitter. Malahan perkara ini turut berlaku dalam laman sosial yang lain seperti Facebook, Instagram, Blogspot, Wechat dan lain-lain. Berikut adalah beberapa contoh imbuhan yang telah digunakan semasa pengimbuhan perkataan bahasa Inggeris oleh pengguna laman sosial Twitter:

1)     meN- dan -kan

Gambar Rajah 1: Pengimbuhan meN- dan  -kan terhadap Perkataan Bahasa Inggeris


2)     beR-

Gambar Rajah 2: Pengimbuhan beR- terhadap Perkataan Bahasa Inggeris

3)     ter-


Gambar Rajah 3: Pengimbuhan ter- terhadap Perkataan Bahasa Inggeris


 
Rumusan

Kebanyakan pengguna laman sosial secara sengaja atau secara langsung melakukan perkara ini tanpa memikirkan kesan terhadap bahasa Melayu sendiri. Jika dilihat, bahasa Inggeris turut mempunyai afiks atau imbuhannya yang tersendiri seperti -ing, -ed, -s dan lain-lain, yang boleh digunakan terhadap perkataan-perkataan bahasa Inggeris tersebut. Perbuatan ini bukan sahaja merosakkan bahasa Melayu malah turut merosakkan bahasa Inggeris.  


Akhir kata, 'Bahasa Jiwa Bangsa'!


Bibliografi

Asmah Hj. Omar. 1993. Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dicapai dari https://twitter.com/?lang=en pada 12 April 2015

Nik Safiah Karim et. al. 2008. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saturday, 11 April 2015

Kan Dah Kata: Perbandingan Pengunaan Kata Majmuk Dalam Akhbar Harakah Daily dan Utusan Versi 'Online'

Akhbar atau surat khabar merupakan medium yang paling berpengaruh dalam masyarakat kini. Hal ini kerana akhbar berfungsi untuk memberi mesej dan mempengaruhi fikiran serta menyampaikan berita kepada masyarakat. Akhbar kebiasaannya diterbitkan dalam pelbagai versi bahasa bagi memenuhi sasaran pembaca yang dikehendaki.

           Entri penulis kali ini adalah untuk melihat aspek morfologi dalam akhbar tempatan versi bahasa Melayu. Pada hemat penulis akhbar bukan sahaja bertujuan untuk menyampaikan mesej tetapi juga berperanan sebagai medium dalam memartabatkan bahasa Melayu sendiri, bersesuaian dengan taraf bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Persoalannya adakah akhbar tempatan mementingkan aspek tatabahasa dalam penulisan wacana yang diterbitkan?

           Skop yang dilihat oleh penulis ialah penggunaan kata majmuk dalam akhbar Harakah Daily Online dan Utusan Online. Penulis ingin membandingkan penggunaan kata majmuk oleh kedua-dua akhbar tempatan tersebut berdasarkan batasan kajian yang ditetapkan oleh penulis iaitu perkataan kemas kini dan atur cara. Hal ini kerana wujud isu morfologi yakni terdapat kata majmuk yang tidak mantap telah ditulis secara mantap dalam penulisan wacana bahasa Melayu.

           Berdasarkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), Terdapat lima belas jenis kata majmuk yang dianggap mantap dalam bahasa Melayu yakni dibenarkan untuk ditulis rapat sebagai satu perkataan. Perkataan-perkataan tersebut ialah antarabangsa, setiausaha, matahari, beritahu, sukarela, olahraga, bumiputera, suruhanjaya, pesuruhjaya, jawatankuasa, tandatangan, warganegara, kakitangan, tanggungjawab dan kerjasama. Oleh itu, kata majmuk yang selain daripada kata majmuk yang dinyatakan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, perlulah ditulis berjauhan antara satu sama lain.

1)          Kemas Kini

Gambar Rajah 1: Kata Majmuk Kemas Kini dalam Akhbar Harakah Daily Online

Gambar Rajah 2: Kata Majmuk Kemas Kini dalam Akhbar Utusan Online

Gambar Rajah 1 dan Gambar Rajah 2 menunjukkan penggunaan kata majmuk dalam akhbar tempatan. Perbandingan menunjukkan terdapat kesilapan kaedah penulisan kata majmuk kemas kini di dalam Harakah Daily Online, yang bertentangan dengan kaedah DBP iaitu telah ditulis rapat menjadi kemaskini. Hal ini berbeza dengan akhbar Utusan  Online yang telah menulis kata majmuk tersebut mengikut ketetapan DBP iaitu kemas kini. Perkataan kemas kini bukanlah antara kata majmuk mantap yang telah disenaraikan oleh DBP.


 2)       Atur Cara

Gambar Rajah 3: Kata Majmuk Atur Cara dalam Akhbar Harakah Daily Online


 Gambar Rajah 4: Kata Majmuk Atur Cara dalam Akhbar Utusan Online


Begitu juga dengan kata majmuk atur cara yang perlu ditulis sebagai dua perkataan yang berasingan. Jika dilihat pada Gambar Rajah 3 terdapat kesilapan kaedah penulisan kata majmuk atur cara di dalam Harakah Daily Online, yang bertentangan dengan ketetapan DBP kerana telah ditulis rapat menjadi aturcara. Hal ini berbeza dengan akhbar Utusan  Online yang telah menulis kata majmuk tersebut mengikut ketetapan DBP menjadi atur cara. Perkataan atur cara juga bukanlah antara kata majmuk mantap yang telah disenaraikan oleh DBP.


 Kesimpulan

Harakah Daily Online perlu 'mengambil kisah' aspek tatabahasa dari segi penggunaan kata majmuk dalam penulisannya supaya secara tidak langsung dapat meningkatkan peranannya bukan sahaja sebagai hub penyampaian maklumat malah juga sebagai pengangkat wajah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Akhir kata, 'Bahasa Jiwa Bangsa'!



Bibliografi

Dicapai dari http://www.utusan.com.my/berita/nasional/gagal-kemas-kini-punca-bantuan-tidak-diterima-1.14360 pada 12 April 2015

Dicapai dari http://arkib.harakahdaily.net/arkibharakah/index.php/arkib/berita/lama/2008/9/16895/negeri-dan-kawasan-diminta-kemaskini-data-kelab-penyokong-pas.html pada 12 April 2015

Dicapai dari http://arkib.harakahdaily.net/arkibharakah/index.php/arkib/berita/lama/2007/8/9109/jemput-meriahkan-majlis-makan-malam-harakah-19-ogos-ini.html pada 12 April 2015

Dicapai dari http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=umno2007&pg=aturcara.htm pada 12 April 2015

Nik Safiah Karim et. al. 2008:73. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Thursday, 9 April 2015

Kan Dah Kata: 'Kami' Dan 'Kita' Sebagai Ganti Nama Sifat Tunggal Bagi Penutur Dialek Utara

Assalamualaikum,

Pada entri pertama penulis, penulis ingin mengetengahkan tentang kata ganti nama diri pertama 'kami' dan 'kita' dari segi penggunaannya oleh penutur dialek utara.

Berdasarkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan 'kami' dan 'kita' merupakan kata ganti nama diri pertama yang bersifat jamak. Sebagai contoh:

1.                   Kita perlu bertolak sebelum waktu maghrib,"  kata Ramli kepada Hasrina.
2                    Kami tidak sempat menyiapkan kerja ini dalam tempoh seminggu," kata
                      Ali dan Amat kepada Cikgu Yeo.  

Namun, penutur utara kadangkala menuturkan ujaran 'kami' dan 'kita' merujuk kepada bilangan tunggal iaitu diri sendiri dan bukannya merujuk kepada sifat jamak (penutur + individu lain) seperti kebiasaan.

Sebagai contoh:

 Gambar Rajah 1: Ganti Nama Kami


 Gambar Rajah 2: Ganti Nama Kita

Jika dilihat pada Gambar Rajah 1 dan Gambar Rajah 2 secara skop preskriptif, penutur dialek utara dianggap telah melanggar hukum yang telah ditetapkan oleh DBP kerana 'kami' dan 'kita' tidak bersifat jamak. Namun jika dilihat secara skop deskriptif, perkara tersebut bukanlah menjadi kesalahan kerana dialek merupakan bahasa ibunda kepada penutur jati sementara bahasa standard pula hanya merupakan bahasa kedua yang hadir selepas bahasa ibunda.
 
Akhir kata, 'Bahasa Jiwa Bangsa'!


Rujukan:

Apakah perbezaan diantara 'kami' dan 'kita'?. Dicapai dari laman sesawang http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=maghrib&d=10 pada 11 April 2015

Dicapai dari laman sesawang https://instagram.com/p/yoJWPeqc2S/ pada 11 April 2015

Dicapai dari laman sesawang http://mysimplelife87.blogspot.com/2014/06/gua-kena-gastrik-teruk-dowh.html pada 11 April 2015