Akhbar atau surat khabar merupakan medium yang paling berpengaruh dalam masyarakat kini. Hal ini kerana akhbar berfungsi untuk memberi mesej dan mempengaruhi fikiran serta menyampaikan berita kepada masyarakat. Akhbar kebiasaannya diterbitkan dalam pelbagai versi bahasa bagi memenuhi sasaran pembaca yang dikehendaki.
Entri penulis kali ini adalah untuk melihat aspek morfologi dalam akhbar tempatan versi bahasa Melayu. Pada hemat penulis akhbar bukan sahaja bertujuan untuk menyampaikan mesej tetapi juga berperanan sebagai medium dalam memartabatkan bahasa Melayu sendiri, bersesuaian dengan taraf bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Persoalannya adakah akhbar tempatan mementingkan aspek tatabahasa dalam penulisan wacana yang diterbitkan?
Skop yang dilihat oleh penulis ialah penggunaan kata majmuk dalam akhbar Harakah Daily Online dan Utusan Online. Penulis ingin membandingkan penggunaan kata majmuk oleh kedua-dua akhbar tempatan tersebut berdasarkan batasan kajian yang ditetapkan oleh penulis iaitu perkataan kemas kini dan atur cara. Hal ini kerana wujud isu morfologi yakni terdapat kata majmuk yang tidak mantap telah ditulis secara mantap dalam penulisan wacana bahasa Melayu.
Berdasarkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), Terdapat lima belas jenis kata majmuk yang dianggap mantap dalam bahasa Melayu yakni dibenarkan untuk ditulis rapat sebagai satu perkataan. Perkataan-perkataan tersebut ialah antarabangsa, setiausaha, matahari, beritahu, sukarela, olahraga, bumiputera, suruhanjaya, pesuruhjaya, jawatankuasa, tandatangan, warganegara, kakitangan, tanggungjawab dan kerjasama. Oleh itu, kata majmuk yang selain daripada kata majmuk yang dinyatakan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, perlulah ditulis berjauhan antara satu sama lain.
Gambar Rajah 1: Kata Majmuk Kemas Kini dalam Akhbar Harakah Daily Online
Gambar Rajah 2: Kata Majmuk Kemas Kini dalam Akhbar Utusan Online
Gambar Rajah 1 dan Gambar Rajah 2 menunjukkan penggunaan kata majmuk dalam akhbar tempatan. Perbandingan menunjukkan terdapat kesilapan kaedah penulisan kata majmuk kemas kini di dalam Harakah Daily Online, yang bertentangan dengan kaedah DBP iaitu telah ditulis rapat menjadi kemaskini. Hal ini berbeza dengan akhbar Utusan Online yang telah menulis kata majmuk tersebut mengikut ketetapan DBP iaitu kemas kini. Perkataan kemas kini bukanlah antara kata majmuk mantap yang telah disenaraikan oleh DBP.
Gambar Rajah 3: Kata Majmuk Atur Cara dalam Akhbar Harakah Daily Online
Gambar Rajah 4: Kata Majmuk Atur Cara dalam Akhbar Utusan Online
Begitu juga dengan kata majmuk atur cara yang perlu ditulis sebagai dua perkataan yang berasingan. Jika dilihat pada Gambar Rajah 3 terdapat
kesilapan kaedah penulisan kata majmuk atur cara di dalam Harakah Daily
Online, yang bertentangan dengan ketetapan DBP kerana telah ditulis rapat
menjadi aturcara. Hal ini berbeza dengan akhbar Utusan Online yang telah menulis kata majmuk tersebut mengikut ketetapan DBP menjadi atur cara. Perkataan atur cara juga bukanlah antara kata majmuk mantap yang telah disenaraikan oleh DBP.
Kesimpulan
Harakah Daily Online perlu 'mengambil kisah' aspek tatabahasa dari segi penggunaan kata majmuk dalam penulisannya supaya secara tidak langsung dapat meningkatkan peranannya bukan sahaja sebagai hub penyampaian maklumat malah juga sebagai pengangkat wajah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Akhir kata, 'Bahasa Jiwa Bangsa'!
Akhir kata, 'Bahasa Jiwa Bangsa'!
Bibliografi
Dicapai dari http://www.utusan.com.my/berita/nasional/gagal-kemas-kini-punca-bantuan-tidak-diterima-1.14360 pada 12 April 2015
Dicapai dari http://arkib.harakahdaily.net/arkibharakah/index.php/arkib/berita/lama/2008/9/16895/negeri-dan-kawasan-diminta-kemaskini-data-kelab-penyokong-pas.html pada 12 April 2015
Dicapai dari http://arkib.harakahdaily.net/arkibharakah/index.php/arkib/berita/lama/2007/8/9109/jemput-meriahkan-majlis-makan-malam-harakah-19-ogos-ini.html pada 12 April 2015
Dicapai dari http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=umno2007&pg=aturcara.htm pada 12 April 2015
Nik Safiah Karim et. al. 2008:73. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment